Laman

Saturday, October 16, 2010

[Berita] Pengecualian Cukai Telefon Bimbit Mantapkan ICT

Pengecualian cukai telefon bimbit mantapkan ICT



2010/10/16
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BAJET 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat semalam, menggariskan beberapa strategi baru bagi meningkatkan kecekapan ekonomi negara dan meneruskan agenda memantapkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negara ini.
Tarikan utama dilihat pada pengecualian cukai jualan untuk telefon bimbit termasuk pembantu peribadi digital (PDA) yang berkuatkuasa serta-merta. Sebelum ini, telefon bimbit tertakluk kepada 10 peratus cukai jualan sedangkan PDA dan GSM diberikan pengecualian cukai menerusi Perintah (Pengecualian) cukai jualan 2008. Manakala duti import import dan eksais ke atas kereta hibrid juga diberikan pengecualian 100 peratus diteruskan sehingga 31 Disember 2011 dalam usaha meningkatkan pemilikan kereta mesra alam.
Selain itu, aktiviti penjanaan tenaga dari sumber diperbaharui dengan Kerajaan komited membangunkan teknologi hijau bagi memastikan pembangunan mampan yang berupaya diteruskan.

“Untuk tujuan itu, Elaun Pelaburan Cukai yang dikenakan untuk tenaga masa depan daripada sumber diperbaharui dan aktiviti tenaga efisien akan diteruskan sehingga akhir 2015,” kata Najib di Parlimen.

Sementara itu, pengecualian cukai daripada pendapatan dagangan dikategorikan Certified Emission Reductions dilanjutkan sehingga 2012 yang menunjukkan komitmen Kerajaan dalam mengurangkan pengeluaran karbon bagi memelihara alam sekitar.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM411 juta pada 2011 bagi aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan kerana ia landasan untuk meningkatkan nilai tambah dalam sektor ekonomi,” katanya, semalam.

Sumber : Harian Metro 16/10/2010

Thursday, October 7, 2010

Tips Apabila Handphone Terkena Air

Air adalah musuh utama handphone. Setakat ini, tidak banyak handphone yang mempunyai ciri kalis air. Menurut Tuan Ahmad Zailani, mentor saya, hanya 20 peratus sahaja handphone yang dimasuki air dapat dibaiki semula. Kebanyakan handphone yang dihantar ke kedai untuk dibaiki, tidak lagi boleh diselamatkan.
Hal ini mungkin disebabkan kekurangan pengetahuan oleh pengguna mengenai cara menghadapinya, dan kerosakan handphone yang dimasuki air adalah rumit untuk dibaiki. Justeru, apabila handphone kita terkena air atau jatuh ke dalam apa-apa jenis cecair, apa yang perlu kita lakukan?
  1. Segera cabut bateri dan punca kuasa handphone. Tindakan pantas boleh menyelamatkan nyawa handphone kita. Setiap saat begitu berharga. Setiap titis air yang terkena pada jalur litar boleh menyebabkan litar pintas dan kerosakan. Semakin lama arus elektrik mengalir, semakin banyak kawasan yang rosak. Jangan sekali-kali membuka suis handphone sebelum air itu kering sepenuhnya. Sekiranya handphone kita terpadam sendiri selepas terkena air, itu bermakna, kerosakan yang berlaku sukar dipulihkan.
  2. Pastikan betul-betul keadaan handphone kita sama ada air termasuk ke dalam kawasan papan litar atau tidak. Sekiranya kita tidak dapat memastikannya, kerana kekurangan peralatan, dapatkan bantuan juruteknik.
  3. Apabila handphone terkena cecair selain air biasa, kita boleh gunakan thinner dan berus untuk mencuci kawasan yang kotor. Elakkan thinner terkena pada LCD dan bahagian handphone yang diperbuat daripada plastik. Selepas itu barulah dikeringkan dengan wap panas.
  4. Kita juga boleh mengeringkan handphone kita sendiri. Buka housing handphone sepenuhnya dan keringkannya dengan menggunakan pengering rambut. Tujukan juga wap panas tersebut ke bahagian bawah cip di papan litar. Banyak kes terjadi apabila air terperangkap di bawah cip, dan kita tidak mengesannya, apabila handphone dibuka suisnya, cip itu menjadi rosak.
  5. Handphone juga boleh dikeringkan dengan memasukkan gel silika (silica gel) ke dalam bekas kedap udara, dan dibiarkan semalaman. Handphone perlu dikeringkan sekitar 1 hingga 3 hari dalam persekitaran kering supaya semua partikel cecair dapat kering dengan sempurna.
Handphone yang dimasuki air, lazimnya akan rosak juga selepas beberapa lama. Handphone tersebut mungkin akan mati selama-lamanya, setelah melalui beberapa tempoh waktu. Ini disebabkan partikel cecair yang telah merosakkan sebahagian komponen, akan ‘memakan’ komponen-komponen lain sedikit demi sedikit. Oleh itu, saudara perlu bersedia apabila handphone itu rosak kelak.

Apa Yang Anda Perlu Tahu Sekiranya Handphone Anda Dimasuki Air?

Salam Syawal

Musim hujan sering menjadi musuh kepada pemilik-pemilik handphone. Terutamanya apabila handphone kita tidak kalis air, tidak dibalut dengan plastik kedap air ataupun kita terlupa membawa payung!
Sebelum ini saya pernah kongsikan tip sekiranya handphone kita dimasuki air. Sebagaimana yang kita tahu, air menjadi musuh kepada barang elektronik dan elektrik. Sebab itu, sekiranya banjir melanda sesuatu penempatan, kerugian anggaran boleh mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit! Hal ini disebabkan semua barangan elektrik sekiranya dimasuki air, sistem operasinya akan gagal dan barangan itu rosak. Hal yang sama juga boleh berlaku kepada barang elektronik termasuk handphone.

Apabila handphone dimasuki air, ada beberapa perkara yang anda perlu tahu mengenainya,

Jaminan Pengilang atau Pengedar Terhapus
Sekiranya anda merujuk kembali kepada syarat dan terma jaminan, terdapat beberapa keadaan yang menghalang anda memperoleh jaminan pembaikian percuma daripada syarikat pengilang atau pengedar telefon bimbit anda. Antara perkara yang boleh menyebabkan terhapusnya jaminan adalah :
  • Bencana alam seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan lain-lain.
  • Handphone terjatuh atau dimasuki air.
  • Handphone digunakan secara cuai sehingga menyebabkan kerosakan.
  • Handphone melalui tempoh masa penggunaan yang biasanya boleh menyebabkan ia rosak.
Sekiranya jaminan pengilang atau pengedar telah terhapus, anda perlu membiayai kos membaikpulih handphone tersebut. Tiada lagi yang percuma buat anda!

Kedai Servis Tidak Memberikan Jaminan Baikpulih
Secara umumnya, semua kedai servis atau baikpulih handphone menyediakan jaminan baikpulih selama seminggu sehingga dua minggu. Ada juga kedai servis yang menyediakan tempoh jaminan lebih daripada itu iaitu sebulan bagi baikpulih LCD dan 3 bulan bagi bateri.
Dalam kes handphone dimasuki air, pekedai biasanya tidak berani memberikan sebarang jaminan kerana hakikatnya, handphone anda sudah tidak terjamin tidak akan rosak semula. Justeru, walaupun selepas baikpulih, handphone anda tetap mempunyai kemungkinan akan rosak semula.

Kerosakan Hardware Handphone
Apa yang terjadi sekiranya handphone anda dimasuki air?
Lazimnya, apabila handphone terkena air atau cecair, bahagian papan induk akan mempunyai karat berwarna putih. Karat ini terhasil selepas air mengering. Litar elektrik handphone akan terganggu akibat air dan karat yang terhasil. Sesetengah komponen yang diperbuat daripada besi, turut menghasilkan karat berwarna coklat.
Sekiranya karat ini dibiarkan tanpa dibersihkan, lambat laun sistem kerja handphone akan terganggu dan mengakibatkan beberapa perkara berikut :
  • Litar di papan induk terputus.
  • Komponen dalaman handphone akan rosak sehingga tidak boleh digunakan langsung.
  • Komponen dalaman handphone menghasilkan tanda-tanda aneh. Contohnya, keypad handphone 2 apabila ditekan, menghasilkan 23. Atau sesetengah kunci tidak dapat ditekan.
Kerosakan Software Handphone
Ada sesetengah kes handphone dimasuki air, menyebabkan software atau perisian handphone menjadi rosak. Apabila handphone cuba dibaiki perisiannya, perisian itu tidak dapat dipasang. Apa penyebabnya?
  • Partikel air berada di kawasan tertentu dalam litar menyebabkan proses pasang semula perisian tidak berjaya.
  • Litar dalaman telah putus.
  • Terdapat IC atau cip yang sudah rosak.
Penyelesaian bagi juruteknik : Cuci semua bahagian papan induk dengan pencuci sehingga bersih. Blowkan mana-mana IC yang ada dengan mesin blower supaya kaki IC dapat melekat semula dengan baik. Ulang proses pasang perisian. Sekiranya tidak berjaya, tandanya ada kerosakan lebih besar, iaitu pada CPU atau pada IC power supply.

Handphone Mungkin Boleh Rosak Selama-lamanya
Berat saya mahu memberi fakta ini, namun berdasarkan pengalaman ramai juruteknik, majoriti handphone yang dimasuki air secara teruk, akan mengalami kerosakan kekal selepas tempoh waktu tertentu. Hal ini disebabkan, partikel air yang sedikit itu ‘memakan’ handphone anda sedikit demi sedikit, bagaikan anai-anai memakan rumah. Apabila tiba masanya, rumah akan musnah, handphone akan punah. Oleh itu, sebagai persediaan sebelum berlaku keadaan itu, ikuti tip di bawah:
  • Salin semua data yang anda perlukan dari masa ke masa. Jangan tunggu sehingga handphone anda ditalkinkan oleh juruteknik, baru anda tengadah selepas terhantuk.
  • Bersedia bagi membeli handphone baru. Tidak semestinya anda perlu membeli handphone baru serta-merta, namun sediakanlah wang, kumpulkan sedikit demi sedikit.
Sekiranya handphone anda tidak rosak, saya ucapkan tahniah.
Kesimpulan artikel ini adalah :
  • Jangan sekali-kali alirkan arus elektrik ke dalam handphone sekiranya handphone masuk air dan anda belum betul-betul pasti handphone anda sudah kering sepenuhnya.
  • Jangan menipu juruteknik sekiranya handphone anda dimasuki air. Juruteknik pun pandai mengesan pembohong.
  • Kerosakan handphone akibat air adalah lazim, justeru, amalkan sikap berhati-hati dan bijak bertindak dalam situasi kecemasan.
  • Tiada sesiapa mahu memberi jaminan kepada handphone anda sekiranya dimasuki air. Hanya wang ikat jamin yang boleh menyelamatkannya.
  • Karat dan kerosakan perlu dipulihkan terlebih dahulu sebelum handphone dapat digunakan seperti sediakala dan tidak rosak selama-lamanya.
  • Handphone anda tanggungjawab anda. Salahkan diri sendiri sekiranya handphone dimasuki air. Jangan salahkan inflasi, harga bebas cukai dan juruteknik.
  • Ucapkan selamat tinggal buat handphone yang rosak. Handphone rosak boleh dijual alat gantinya, dan dikitar semula menjadi handphone baru. Jangan buang! Jangan kotorkan alam dengan pencemaran radiasi!